"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Thursday, April 12, 2012

senyumlah duhai hati

bismillah..

kesibukkan duniawi menghambat lagi. banyak hak yang rasanya tidak tertunai. maafkan saya sahabatku kerana sering telat menjawab mesej kalian. ada yang di buka bukan waktunya, lantaran itu terbiar diam dengan mesej yang masuk selepasnya.

ada pula yang saya rasakan terlalu berat. entahlah. mungkin bukan selayaknya saya menjawabnya. namun, terima kasih jua ku ucapkan kerana soalan-soalan itu membuat saya refleksi sekian lama sebelum mengambil putus untuk nukilkan di sini.

teringat saya akan kisah baginda nabi shallallahu alaihi wasallam.
baginda di datangi seorang wanita bersama anaknya yang sangat kuat makan. setibanya di rumah baginda, anak itu memakan hidangan tamar yang nabi sediakan sehingga hampir habis. berkatalah si ibu akan hajatnya, agar rasulullah menasihati anaknya supaya kurang memakan tamar. 
baginda nabi shallallahu alaihi wasallam tidak langsung menasihati si anak malah meminta mereka pulang dahulu dan datang semula pada ketika yang lain. si ibu hairan namun akur dengan permintaan baginda. 
sesudah beberapa waktu, datanglah kembali si anak dan ibunya. pada ketika ini, barulah nabi shallallahu alaihi wasallam menasihati sang anak. hal ini kerana, tempoh yang di minta nabi adalah untuk mendisiplinkan diri baginda dahulu agar kurang memakan tamar. sesudah mempraktiskan dengan dirinya sendiri baharulah baginda menasihati yang lain.
lihatlah akhlak junjungan kita, Islah Nafs, Wadú Ghairak..

baru-baru ni, seseorang bertanyakan saya satu hal. lama saya baca dan banyak kali juga saya ulang buka dan hadam soalan. namun baru hari ini punya kekuatan untuk menukil. tak dapat saya postkan soalannya sebab bila saya semak kembali, mesej tu sudah tiada dalam simpanan.

sahabat saya ini bertanya, mengapa ada yang bersangka buruk, menyakitinya sehingga memfitnah sedangkan dia melakukan sesuatu itu dengan ikhlas?

jawapan ini untuk diri saya sebetulnya.

Islah Nafs

perbaiki diri dan selidikilah apa yang menjadi asbab 'kesakitan' yang kita alami. sesungguhnya, tiadalah sia-sia apa yang telah Allah taqdirkan berlaku. kita yang kena duduk muhasabah dan singkap satu per satu aturanNya.

terkadang mungkin asalnya dari khilaf diri kita sendiri, maka Allah bagi teguran dengan cara keras. Allah hadiahkan kita Huzn supaya kita merintih kepadaNya. mungkin juga tanda kasih sayang Allah untuk meninggikan martabat kita di sisinya.

ketahuilah Allah sedang mengukur neraca Ikhlas yang kita canangkan. bagaimanakah?

sunnah orang berjuang

"Andai kamu merasakan mudah dalam berjuang, ketahuilah kamu bukan seorang pejuang"

sunnatullah, perjuangan itu pahit. luka. air mata. darah. semua itu ramuan hidup seorang pejuang fi sabilillah. sedangkan nabi habibullah, kecintaan Allah pun sebegitu tega manusia menyakitinya, siapalah kita ini di banding baginda?  baginda nabi shallallahu alaihi wasallam lebih teruk di sakiti, apalah sangat sakitnya kita di banding baginda? baginda lebih lagi di fitnah, apalah sangat cebisan fitnah yang kita terima?

kesakitan inilah Mahar yang akan kita bawa menuju Allah.

kenanglah kembali kisah Abdullah Ibn Mubarak yang menasihati Fudhail b Iyadh, Imam dua tanah haram gelarannya kerana begitu kuat beribadat.

kata Abdullah Ibn Mubarak;
"Wahai tuan yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, saudara akan tahu bahawa saudara hanya bermain dengan ibadat, siapa yang pipinya berlumuran air mata maka leher kami berlumuran darah, kalau kudamu penat di dalam kebathilan, maka kuda kami penat di medan perang"
doa & memaafkan

doakan kebaikan orang yang menzalimi kita dan maafkanlah. memang, terkadang kita rasakan sangat sukar untuk melakukan. namun percayalah, ia tidak mustahil. kamu akan merasakan kebahagiaan yang sangat apabila kamu melepaskan segala mazmumah yang bersarang di jiwa.

kita yakin, kita hanya ada Allah. kita bergantung pada Allah. berkumpullah sebatalion manusia untuk menghancurkan kita namun tanpa izin Allah, usaha mereka menjadi sia-sia.

tiada lebih sedikit pun pada kita andai kita terus-terusan menyimpan dendam. walhal, Allah menjanjikan nikmat yang tiada tara bagi insan yang setiap harinya sebelum mati sementara (tidur), dia memaafkan semua makhluk di dunia.
"dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib"  (Fushilat:34)

:)
senyumlah duhai hati..
moga pelagi kan muncul esok hari..