"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Monday, August 20, 2012

puasa: qada' atau sunat Syawwal? boleh di gabung?

bismillah..

memandangkan persoalan yang mana harus di dahulukan atau bolehkan di-combine kedua-dua puasa qada'dan sunat Syawwal sering timbul, sukalah saya untuk berkongsi tulisan beserta dalil daripada murobbi kami, sidi ustaz Muhadir b Haji Joll. semoga bermanfaat untuk semua, InshaAllah..

Pendahuluan
Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah termasuk di dalam ibadah puasa Tathawwu’ (amalan ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah). Kebanyakan ahlil ilmi mengatakan sunnat berpuasa 6 hari di bulan Syawwal termasuklahIbn Abbas, Thaus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain[1].
Imam Nawawi mengatakan: Hadith ini (iaitu hadith Abu Ayyub al-Anshari di bawah) jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal)[2].

Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadhan dan boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardhu tersebut[3].
Sesungguhnya puasa selama 6 hari di bulan Syawwal mengandungi pahala yang sangat besar sekali. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Ayyub al-Anshari, sesungguhnya Rasulullah bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun[4].

Sebahagian ulama menafsirkan, mengerjakan puasa sepanjang tahun ini merujuk kepada ganjaran kebajikan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunnat di bulan Syawwal ini. Ini lebih jelas disebutkan di dalam hadith daripada Thauban, daripada Rasulullah, sesungguhnya Baginda bersabda:


مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا

Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya[5].

Oleh kerana itu, puasa sebulan di bulan Ramadhan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawwal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari)[6].

Di dalam hadith lain daripada Ibn Umar berkata: Rasululullah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya[7].


Waktu dan perlaksanaannya
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhazzab: Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama’ Syafi’iyyah): Dan disunnatkan puasa enam Syawwal itu berturut-turut pada awal Syawwal dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawwal nescaya harus[8].

Ibn Mubarak memilih awal bulan dan beliau mengatakan jika bercerai-cerai harus[9].

Afdhal

Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muslim: Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawwal)[10].

Qadha’ puasa dan puasa sunnat Syawwal

Mengqadha’kan puasa bulan Ramadhan adalah sesuatu yang wajib. Jika ia dilakukan secara berasingan (separated) dengan puasa sunnat Syawwal, maka ia jelas difahami akan bolehnya. Persoalan timbul apabila ia dilakukan sekali gus (combined) dengan puasa Syawwal dalam bulan Syawwal. Para ulama’ khilaf mengenainya.

1) Imam Syamsuddin al-Ramli[11] mengatakan:

ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء، حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعًا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرامي وغيرهم، ولكن لا
يحصل له الثواب الكامل.

Maknanya: Dan jika seseorang berpuasa pada bulan Syawwal secara qadha’ atau nazar atau selain keduanya atau pada hari seumpama hari 'Asyura`, hasil baginya (dia mendapat) pahala puasa sunnat hari tersebut seperti mana telah difatwakan oleh ayahku (iaitu ayahanda Imam al-Ramli iaitu Imam Syihabuddin al-Ramli) kerana mengikut fatwa Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna[12].

Rumusan:

1- Jika puasa qadha’ atau nazar dilakukan pada bulan Syawwal atau hari Asyura, orang tersebut akan mendapat juga pahala puasa sunnat hari yang dia berpuasa itu (dia akan mendapat pahala puasa sunnat bulan Syawwal atau puasa hari Asyura).

2- Walau bagaimanapun, dia tidak akan mendapat pahala puasa sunnat yang sempurna.

Pendapat Imam Syaikh Ramli ini diikuti oleh ramai ulama termasuk ulama di dunia Melayu. Di sini, dinukilkan pendapat mengenainya seperti yang termaktub di dalam 3 kitab Jawi besar dalam fiqah di dunia Melayu yang menjadi rujukan oleh kitab-kitab fiqah lain.

2) Kitab Sabil al-Muhtadin (di alam Melayu dikenal dengan kitab Sabilal Muhtadin), karangan Al-Alim al-Allamah Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau menulis:


(Soal) Jika seorang puasa qadha’ atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah: Hasil baginya pahala sunnat Syawwal, jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya (selepasnya)[13]. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian (selepas) daripada umpama qadha’ itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi sharif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal. Dan jika tiada, maka sunnat mengqadha’ dia pada bulan Zulqaedah[14].

Rumusan:

1- Jika dia puasa qadha’ atau nazar tanpa sebelumnya ada niat puasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar itu, dia akan mendapat pahala puasa sunnat Syawal. Jika dia ada niat seperti itu, maka dia tidak mendapat pahala sunnat Syawwal.

2- Oleh kerana jika dia sudah berniat berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’, hendaklah dia berpuasa sunnat Syawwal tersebut dalam bulan Syawwal itu juga.

3- Jika bulan Syawwal sudah selesai, maka sunnat dia mengqadha’kan puasa sunnat Syawwal itu di bulan Zulqaedah.

3) Di dalam kitab Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Faththoni, beliau menulis:

(Dan jika ada) padanya puasa qadha’ atau nazar atau lainnya, maka jika ada niatnya hendak puasa sunnat Syawwal itu kemudian daripadanya, maka tiada hasil sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu. Dan jika tiada seperti ia niatkan serta qadha’ atau nazar, sunnat syawwal, hasillah pahala keduanya, atau tiada diniatkan puasa sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu, lepaslah tuntutannya, yakni tiada dituntut puasa sunnat Syawwal lagi. Demikianlah disebut pada Mudabaghi tempatnya. Hasilnya itu, jika tiada diniatkan puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ atau nazar…[15]

Rumusan:

1- Jika dia ada berniat untuk berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak mendapat mendapat pahala sunnat Syawwal, cuma mendapat pahala puasa qadha’ atau nazar sahaja.

2- Jika dia berniat puasa qadha’ atau nazar sahaja, maka dia mendapat pahala puasa kedua-duanya (pahala qadha’ atau nazar dan pahala puasa sunnat Syawwal).

3- Jika dia tidak berniat puasa sunnat Syawwal ketika melakukan puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak dituntut untuk menunaikan puasa sunnat Syawwal.

3) Kitab Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Shafi, karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni. Beliau juga menukilkan pendapat Imam Ramli dalam tulisannya:

(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha’ atau puasa nazar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari 'Asyura` akan puasa qadha’ atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Barazi dan Syaikh Ashfuni dan Syaikh Nasyiri dan al-Faqih Ali bin Shalih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits)[16].

Rumusan:

1- Seperti rumusan pada qawl (pendapat) perkataan Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj di atas.


Natijah:
Daripada perbincangan para ulama’ (di dalam kitab-kitab yang telah disebutkan di atas), dapat diambil panduan hukum iaitu:

Seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa 6 Syawwal walaupun tidak sempurna pahala sunnat puasa 6 itu, sama ada – semasa puasa itu – berniat qadha’ sahaja atau niat qadha’ serta sunnat puasa 6 sekali gus, dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Ini adalah pendapat Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Kabir) dan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Shaghir), termasuklah sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib al-Syarbini, Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathoni dan lain-lain.


Penutup

Beberapa perkara yang boleh dinyatakan di dalam persoalan puasa qadha’ Ramadhan yang disertakan (combined) dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal antaranya:

1) Ia adalah antara perkara khilaf di kalangan para ulama’.

2) Kebanyakan para ulama mengatakan seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa Syawwal dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Justeru, boleh menggabungkan puasa qadha’ dan puasa sunnat Syawwal sekali gus.

3) Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat hanya mendapat pahala qadha’ sahaja dan tidak mendapat pahala sunnat 6, jika hanya berniat qadha’ dan tidak berniat puasa sunnat. Walau bagaimana pun, jika dia berniat qadha’ serta sunnat sekali gus, maka tidak sah dan tidak mendapat pahala untuk kedua-dua puasa tersebut. Ini adalah pendapat Imam Nawawi dan Imam Asnawi[17]. Ada juga ulama yang mengatakan dia hanya mendapat pahala qadha’, tidak mendapat pahala sunnat, melainkan jika ada niat puasa sunnat itu. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami[18].

4) Bagi pandangan al-Faqir- setelah merujuk kepada panduan pendapat para ulama dan masyaikh di dalam kitab dan perbincangan mereka-, jika bulan Syawwal masih panjang, adalah lebih baik menunaikan puasa qadha’ dahulu dan selepas itu menunaikan puasa 6. Ini adalah kerana mengikut kaedah: مَا أَكْثَرَ فِعْلاً أَكْثَرَ فَضْلاً (Apa-apa yang banyak dibuat, maka banyak pula fadhilatnya). Ia juga sebagai suatu ihthiyath (berhati-hati) memandangkan ada pendapat yang tidak membolehkan menyertakan sekali kedua-dua puasa ini. Jika bulan Syawwal sudah di penghujung, maka menggabungkan di antara puasa qadha’ dan sunnat Syawwal adalah baik. Wallahu a’lam.

4) Berusahalah bersama-sama agar kita tidak terlepas untuk menunaikan puasa 6 hari Syawal ini sebagai taqarrub (untuk menghampirkan diri kepada Allah) di samping ganjaran yang besar seperti yang disebut di dalam riwayat hadith.

والله أعلم بالصواب


[1] Rujuk Lathaif al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-‘Am min al-Wazhaif, Al-Imam al-Hafiz Zainuddin bin Rajab al-Hanbali, ta’liq Muhammad al-Iskandarani, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/ 1996M, ms 209.

[2] Rujuk Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, Bairut: Dar al-Qalam, 1987, 8/56.

[3] Rujuk Al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, Al-Imam al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, tahzib wa taqdim, Syaikhuna, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Bogor: Al-Ma’had al-Ali li al-Tafaqquh fi al-Din, Cetakan Kedua, 1418H/ 1997M, ms 179.

[4] Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Al-Shiyam, Abu Daud dalam kitab Al-Shiyam,Tirmizi dalam kitab al-Shawm, Ibn Majah dalam kitab Al-Shiyam.

[5] Diriwayatkan Ibn Majah. Hadith ini disebut di dalam kitab Fadhail al-A’mal, Al-Hafiz Dhiyauddin, Muhammad bin Abd al-Wahid bin Ahmad al-Maqdisi, Madinah: Jam’iyyah al-Birr, 1412H, ms 42.

[6] Disebut oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim seperti yang dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi Syarah bagi Mukhtasar Shahih al-Tirmizi, 5/127. Rujuk juga Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Shawab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathoni, Dar al-Fikr, 2/128. Bilangan 360 hari di sini merujuk kepada hari dalam setahun tahun Hijriyyah, bukan Masahiyyah.

[7] Diriwayatkan oleh Tabrani di dalam Al-Awsat.

[8] Bahr al-Mazi, 5/127. Lihat juga Al-Shirat al-Mustaqim, Al-Alim Al-Allamah Syaikh Nuruddin Jilani bin Ali Hasanji bin Muhammad Humaid al-Raniri (kitab ini berada di tepi kitab Sabil al-Muhtadin), ms 138.

[9] Rujuk Bahr al-Mazi , 5/126.

[10] Rujuk Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Syaikh Muhammad Al-Syarbini al-Khatib, Fathoni: Matba’ah Ibn Halabi, t.t, 1/245, Bahr al-Mazi, 5/127,Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni, Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif, t.t, ms 65, Kifayah al-Muhtadi pada Menerangkan Cahaya Sulam al-Mubtadi, Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathoni, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, 1351H, ms 162 dan Idaman Penuntut pada Menghuraikan Yang Kusut, Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya, Penggal Pertama, 1983, ms 148.

[11] Beliau ialah salah seorang ulama besar dalam fiqh mazhab Syafi’e. Diberi gelaran Imam Syafi’e al-Shaghir (Imam Syafie kecil) kerana kedalaman dan kewibawaannya dalam ilmu pengetahuan. Kitabnya Nihayah al-Muhtaj dan Tuhfah al-Muhtaj sentiasa menjadi rujukan utama para ulama untuk mengetahui pendapat yang dipakai di dalam mazhab Syafi’e.

[12] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj fi al-Fiqh 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'e, Syaikh Ramli, Egypt: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1993, 3/208–209. Pendapat beliau disokong juga oleh Al-Imam Al-Khatib al-Syarbini (rujuk Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2/184).

[13] Umpamanya dia mengqasadkan (meniatkan) beberapa hari sebelum dia mengerjakan puasa qadha’: “Aku nak puasa qadha’ dulu. Lepas puasa qadha’ ini, aku akan puasa sunnat Syawwal 6 hari pula”. Jika dia berniat seperti itu, maka, dia tidak mendapat pahala puasa sunnat Syawwal 6 hari itu, jika dia menyertakan (combine) puasa qadha’ serta puasa sunnat Syawwal sekaligus kerana dia sudah berniat untuk melakukan puasa sunnat itu tidak sekali (separate) dengan puasa qadha’.

[14] Rujuk Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh bi Amr al-Din, Al-Imam al-Allamah al-Syaikh Muhammad Ahmad bin Abdullah al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, t.t, 2/160–161.

[15] Bughyah al-Tullab, Dar al-Fikr, 2/128.

[16] Rujuk Al-Bahr al-Wafi, kompilasi oleh Syaikhuna al-Marhum, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Soghir bin Abdullah al-Riawi al-Fathoni, Kuala Lumpur: Khazanah Fathoniyyah, Cetakan Kedua, 2005, ms 376.

[17] Rujuk Fath al-Mu’in, Al-Alim al-Allaamah Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari.

[18] Rujuk I’anah al-Tholibin hasyiah bagi Fath al-Mu’in, Syaikh Abu Bakar Syatha al-Bakri al-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Syaikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan.


Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Jol
Pensyarah UIAM
7 Syawal 1429H