"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Sunday, October 26, 2008

"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan"


Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku. Semenjak bergelar mahasiswa di IPTA utara ini, bermusafir menjejak ilmu perekonomian yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidurpun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku. Aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ekonomi untuk dihadami. Serabut..?! tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke paras 3 Fakulti Ekonomi yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah!


Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu. "khabar apakah zaid di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah zaid pada husna? Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, maahad johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas kuatur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.


"zaid, maafkan husna. Husna masih menyayangi zaid. Perasaan husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas". Aku tersenyum membaca sms yang ke2. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku. Benar teman, kini dia kembali!


"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan". Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling 'bengkeng' dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan. Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh.


"Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana" Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang! Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati, tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu. Benar aku insan dhaif yang lemah.. lemah dengan cinta manusia yang sia-sia. Aku tertunduk lesu.


"Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model? Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah!"


Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung. "Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang... Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana!"

Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu. "Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!" Aku mencebik dan tersenyum sinis.


"Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini". Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya. Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. STAM, bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal kuraih pada keluargaku.


"Kau terlalu naif!" Aku tersentak, benarkah? "Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu!" Mendatar kalimah itu.


"Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu!" Aku meneliti bait-bait yang terlontar.


"Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nan indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali, Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya." Dia melepaskan satu keluhan. "Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah... sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya." Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku.


Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu. "Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah," terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan. Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan diri ini.


Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Diamasih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah. Benar, kata-katamu itu terlalu benar.


Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi. Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah... terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri. Sms husna ku balas... "Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,"

p/s: sekadar berkongsi

Tuesday, October 21, 2008

qorban: dari sisi lain [repost]

bismillah..

qurban yang selalu di peringatkan buat kita adalah pengorbanan agung nabi Allah Ibrahim juga puteranya Ismail alaihis salam dalam menurut perintah Allah swt. namun, artikel ini mengenengahkan sisi lain pengorbanan yang dapat di lihat juga dalam keluarga mulia nabi Allah Ibrahim.
seandainya tanpa “izin” Sarah, Ibrahim tidak akan meminang Hajar untuk dijadikan sebagai isteri kedua. poligami Ibrahim yang bertujuan untuk ikhtiar memperoleh keturunan pada awalnya adalah sebahagian dari pengorbanan Sarah yang rela memberikan suaminya demi mengharapkan keturunan dari Hajar. pengorbanan Hajar pula ketika ia harus mengarungi hidup tanpa Ibrahim (suami tercinta) di negeri yang sangat tandus dan gersang, Makkah saat itu.

beberapa hal yang dapat diungkap di sini, misalnya mengenai poligami Ibrahim terhadap Sarah dan posisi Hajar di antara mereka. Poligami adalah kenyataan sangat pahit yang harus diterima perempuan. apalagi dalam agama Islam, poligami ‘seakan’ mendapatkan legitimasi dari al-Qur’an dan contoh dari Rasul, tak terlepas contoh yang dilakukan Nabi Ibrahim.

banyak orang tidak menangkap pengorbanan Sarah hingga kemudian dianugerahi anak pada usia yang sudah sangat lanjut. Sarah adalah seorang perempuan yang cantik. Bahkan kerana kecantikannya, Ibrahim pernah memintanya untuk mengaku sebagai saudara perempuannya agar Sarah tidak diambil paksa oleh Raja Mesir yang berkuasa saat itu. bila Raja Mesir mengetahui bahwa Sarah adalah isteri Ibrahim, maka dia tidak segan mengambil Sarah dari sisi Ibrahim. tentu saja pengakuan menjadi saudara perempuan Ibrahim memerlukan kebesaran hati Sarah dan mengorbankan egonya.

ketika Raja Mesir pada akhirnya menghadiahkan Ibrahim seorang hamba perempuan, tanpa segan Sarah mengusulkan kepada Ibrahim untuk memperisterikan hamba yang bernama Hajar itu. satu usul yang mungkin sangat payah untuk diungkap oleh seorang perempuan. Sarah meminta Ibrahim memperisteri Hajar agar Ibrahim dapat meneruskan keturunannya yang tidak diperoleh dari rahim Sarah. pada waktu itu, lelaki beristeri lebih dari satu sesungguhnya bukan hal luar biasa, bahkan penguasa atau raja sangat lumrah memiliki ratusan isteri. untuk Ibrahim, usulan Sarah adalah hal yang luar biasa. pengorbanan Sarah secara tidak langsung memberikan hak kemerdekaan kepada Hajar yang semula berstatus hamba menjadi manusia merdeka.


dari perkawinan Hajar dan Ibrahim, Allah menganugerahkan mereka seorang anak bernama Ismail. seberapa pun besar hati Sarah, dia tetap manusia biasa yang memiliki keterbatasan, kerana dia pun merasakan “kesedihan” ketika setiap hari menyaksikan kebahagian Ibrahim beserta anak dan isterinya yang lain di hadapannya sendiri. perintah Allah pun turun kepada Ibrahim untuk menghantarkan Hajar dan Ismail ke negeri yang jauh dan tandus bernama Makkah dan meninggalkan mereka berdua di sana. walau Hajar sempat bertanya mengapa dia harus pindah dan kemudiaan ditinggalkan di Makkah, tetapi Hajar akhirnya harus sanggup menerima keputusan bahawa ia memang harus mengasuh Ismail tanpa Ibrahim. Hajar mengorbankan kebahagiaan yang baru saja dirasakannya bersama Ibrahim atas nama titah Ilahiah.

tiada yang dapat mengira betapa besar perjuangan Hajar dalam waktu 6-7 tahun untuk membesarkan Ismail. pengorbanan seorang perempuan dan ibu yang tulus. sedangkan Ibrahim telah kembali kepada isteri pertamanya yang tidak lama kemudian dianugerahi anak bernama Ishak. apa yang terbayang oleh seorang perempuan tatkala dia harus berjuang sendirian dengan anaknya, sedangkan di tempat lain suaminya sedang berbahagia dengan isteri pertamanya. bagaimana Hajar harus meletakkan kesedihannya, tatkala dia merasa bahawa Ismail sebagai anak memerlukan sentuhan kasih-sayang Ibrahim, sang ayah, sedangkan kenyataannya Ibrahim berada jauh dari sisinya dan mendakap hangat anaknya yang lain.

kepasrahan, ketabahan, dan kesabaran Hajar adalah cermin bahwa ‘harga’ pengorbanannya sebagai perempuan, sebagai isteri dan sebagai ibu tidak akan terbeli. bahkan hingga akhirnya dia harus rela melepas Ismail tatkala perintah qurban turun kepada Ibrahim. kalau peristiwa penyembelihan Ismail oleh Ibrahim seringkali dinyatakan sebagai salah satu bentuk ketakwaan Ismail dan Ibrahim, maka apalah yang dapat disandarkan kepada Hajar saat itu? seorang ibu yang mengandungkan anaknya selama sembilan bulan dan membesarkannya tanpa bantuan suami di sisi? lebih-lebih lagi, Hajar sendiri yang berpesan kepada Ibrahim untuk tidak lupa membawa pedang yang tajam untuk menyembelih Ismail, puteranya.

qurban pada akhirnya memang disimbolkan melalui penyembelihan seekor haiwan. selain itu, seperti yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad, penyembelihan haiwan bukanlah satu tujuan, tetapi menjadi simbol berlawanan terhadap tradisi yang menindas. misalnya tradisi pada zaman jahiliyah yang seringkali menjadikan perempuan sebagai korban, seperti mengubur hidup-hidup bayi-bayi perempuan atas nama kemuliaan suku atau martabat seorang lelaki, atau menjadikan perempuan sebagai pihak yang boleh diwariskan, atau dikendalikan kaum lelaki.

Islam yang diajarkan Nabi Muhammad SAW telah melakukan perubahan besar terutama dalam hak perempuan. dari sejarah diketahui bahwa perempuan pada masa itu tidak dianggap sebagai manusia merdeka yang utuh, tetapi hanya sebagai makhluk pelengkap kemahuan lelaki yang dapat dipegang dan dicampakkan sesuka hati. perempuan tidak dibolehkan keluar rumah, tetapi Nabi Muhammad meletakkan perempuan untuk menikmati hak pendidikan dan hak sosial mereka. di sini menjadi wajar dan masuk akal, jika ayat-ayat Al-Qur’an yang turun pada masa-masa awal (ayat Makkiyyah) lebih banyak mengandung ajaran protes sosial terhadap status quo yang tidak adil dan menindas, termasuk menindas terhadap kaum perempuan. 

pertanyaannya adalah apakah semangat Islam pada masa awal iaitu penghapusan ketidakadilan dan diskriminasi dalam segala hal, termasuk terhadap perempuan, masih akan dihidupkan dan diperjuangkan? atau terus dinodai dengan cara yang lebih 'mulia'?

(edited from here )