"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Monday, August 20, 2012

puasa: qada' atau sunat Syawwal? boleh di gabung?

bismillah..

memandangkan persoalan yang mana harus di dahulukan atau bolehkan di-combine kedua-dua puasa qada'dan sunat Syawwal sering timbul, sukalah saya untuk berkongsi tulisan beserta dalil daripada murobbi kami, sidi ustaz Muhadir b Haji Joll. semoga bermanfaat untuk semua, InshaAllah..

Pendahuluan
Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah termasuk di dalam ibadah puasa Tathawwu’ (amalan ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah). Kebanyakan ahlil ilmi mengatakan sunnat berpuasa 6 hari di bulan Syawwal termasuklahIbn Abbas, Thaus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain[1].
Imam Nawawi mengatakan: Hadith ini (iaitu hadith Abu Ayyub al-Anshari di bawah) jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal)[2].

Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadhan dan boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardhu tersebut[3].
Sesungguhnya puasa selama 6 hari di bulan Syawwal mengandungi pahala yang sangat besar sekali. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Ayyub al-Anshari, sesungguhnya Rasulullah bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun[4].

Sebahagian ulama menafsirkan, mengerjakan puasa sepanjang tahun ini merujuk kepada ganjaran kebajikan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunnat di bulan Syawwal ini. Ini lebih jelas disebutkan di dalam hadith daripada Thauban, daripada Rasulullah, sesungguhnya Baginda bersabda:


مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا

Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya[5].

Oleh kerana itu, puasa sebulan di bulan Ramadhan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawwal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari)[6].

Di dalam hadith lain daripada Ibn Umar berkata: Rasululullah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya[7].


Waktu dan perlaksanaannya
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhazzab: Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama’ Syafi’iyyah): Dan disunnatkan puasa enam Syawwal itu berturut-turut pada awal Syawwal dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawwal nescaya harus[8].

Ibn Mubarak memilih awal bulan dan beliau mengatakan jika bercerai-cerai harus[9].

Afdhal

Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muslim: Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawwal)[10].

Qadha’ puasa dan puasa sunnat Syawwal

Mengqadha’kan puasa bulan Ramadhan adalah sesuatu yang wajib. Jika ia dilakukan secara berasingan (separated) dengan puasa sunnat Syawwal, maka ia jelas difahami akan bolehnya. Persoalan timbul apabila ia dilakukan sekali gus (combined) dengan puasa Syawwal dalam bulan Syawwal. Para ulama’ khilaf mengenainya.

1) Imam Syamsuddin al-Ramli[11] mengatakan:

ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء، حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعًا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرامي وغيرهم، ولكن لا
يحصل له الثواب الكامل.

Maknanya: Dan jika seseorang berpuasa pada bulan Syawwal secara qadha’ atau nazar atau selain keduanya atau pada hari seumpama hari 'Asyura`, hasil baginya (dia mendapat) pahala puasa sunnat hari tersebut seperti mana telah difatwakan oleh ayahku (iaitu ayahanda Imam al-Ramli iaitu Imam Syihabuddin al-Ramli) kerana mengikut fatwa Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna[12].

Rumusan:

1- Jika puasa qadha’ atau nazar dilakukan pada bulan Syawwal atau hari Asyura, orang tersebut akan mendapat juga pahala puasa sunnat hari yang dia berpuasa itu (dia akan mendapat pahala puasa sunnat bulan Syawwal atau puasa hari Asyura).

2- Walau bagaimanapun, dia tidak akan mendapat pahala puasa sunnat yang sempurna.

Pendapat Imam Syaikh Ramli ini diikuti oleh ramai ulama termasuk ulama di dunia Melayu. Di sini, dinukilkan pendapat mengenainya seperti yang termaktub di dalam 3 kitab Jawi besar dalam fiqah di dunia Melayu yang menjadi rujukan oleh kitab-kitab fiqah lain.

2) Kitab Sabil al-Muhtadin (di alam Melayu dikenal dengan kitab Sabilal Muhtadin), karangan Al-Alim al-Allamah Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau menulis:


(Soal) Jika seorang puasa qadha’ atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah: Hasil baginya pahala sunnat Syawwal, jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya (selepasnya)[13]. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian (selepas) daripada umpama qadha’ itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi sharif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal. Dan jika tiada, maka sunnat mengqadha’ dia pada bulan Zulqaedah[14].

Rumusan:

1- Jika dia puasa qadha’ atau nazar tanpa sebelumnya ada niat puasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar itu, dia akan mendapat pahala puasa sunnat Syawal. Jika dia ada niat seperti itu, maka dia tidak mendapat pahala sunnat Syawwal.

2- Oleh kerana jika dia sudah berniat berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’, hendaklah dia berpuasa sunnat Syawwal tersebut dalam bulan Syawwal itu juga.

3- Jika bulan Syawwal sudah selesai, maka sunnat dia mengqadha’kan puasa sunnat Syawwal itu di bulan Zulqaedah.

3) Di dalam kitab Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Faththoni, beliau menulis:

(Dan jika ada) padanya puasa qadha’ atau nazar atau lainnya, maka jika ada niatnya hendak puasa sunnat Syawwal itu kemudian daripadanya, maka tiada hasil sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu. Dan jika tiada seperti ia niatkan serta qadha’ atau nazar, sunnat syawwal, hasillah pahala keduanya, atau tiada diniatkan puasa sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu, lepaslah tuntutannya, yakni tiada dituntut puasa sunnat Syawwal lagi. Demikianlah disebut pada Mudabaghi tempatnya. Hasilnya itu, jika tiada diniatkan puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ atau nazar…[15]

Rumusan:

1- Jika dia ada berniat untuk berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak mendapat mendapat pahala sunnat Syawwal, cuma mendapat pahala puasa qadha’ atau nazar sahaja.

2- Jika dia berniat puasa qadha’ atau nazar sahaja, maka dia mendapat pahala puasa kedua-duanya (pahala qadha’ atau nazar dan pahala puasa sunnat Syawwal).

3- Jika dia tidak berniat puasa sunnat Syawwal ketika melakukan puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak dituntut untuk menunaikan puasa sunnat Syawwal.

3) Kitab Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Shafi, karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni. Beliau juga menukilkan pendapat Imam Ramli dalam tulisannya:

(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha’ atau puasa nazar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari 'Asyura` akan puasa qadha’ atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Barazi dan Syaikh Ashfuni dan Syaikh Nasyiri dan al-Faqih Ali bin Shalih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits)[16].

Rumusan:

1- Seperti rumusan pada qawl (pendapat) perkataan Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj di atas.


Natijah:
Daripada perbincangan para ulama’ (di dalam kitab-kitab yang telah disebutkan di atas), dapat diambil panduan hukum iaitu:

Seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa 6 Syawwal walaupun tidak sempurna pahala sunnat puasa 6 itu, sama ada – semasa puasa itu – berniat qadha’ sahaja atau niat qadha’ serta sunnat puasa 6 sekali gus, dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Ini adalah pendapat Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Kabir) dan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Shaghir), termasuklah sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib al-Syarbini, Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathoni dan lain-lain.


Penutup

Beberapa perkara yang boleh dinyatakan di dalam persoalan puasa qadha’ Ramadhan yang disertakan (combined) dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal antaranya:

1) Ia adalah antara perkara khilaf di kalangan para ulama’.

2) Kebanyakan para ulama mengatakan seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa Syawwal dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Justeru, boleh menggabungkan puasa qadha’ dan puasa sunnat Syawwal sekali gus.

3) Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat hanya mendapat pahala qadha’ sahaja dan tidak mendapat pahala sunnat 6, jika hanya berniat qadha’ dan tidak berniat puasa sunnat. Walau bagaimana pun, jika dia berniat qadha’ serta sunnat sekali gus, maka tidak sah dan tidak mendapat pahala untuk kedua-dua puasa tersebut. Ini adalah pendapat Imam Nawawi dan Imam Asnawi[17]. Ada juga ulama yang mengatakan dia hanya mendapat pahala qadha’, tidak mendapat pahala sunnat, melainkan jika ada niat puasa sunnat itu. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami[18].

4) Bagi pandangan al-Faqir- setelah merujuk kepada panduan pendapat para ulama dan masyaikh di dalam kitab dan perbincangan mereka-, jika bulan Syawwal masih panjang, adalah lebih baik menunaikan puasa qadha’ dahulu dan selepas itu menunaikan puasa 6. Ini adalah kerana mengikut kaedah: مَا أَكْثَرَ فِعْلاً أَكْثَرَ فَضْلاً (Apa-apa yang banyak dibuat, maka banyak pula fadhilatnya). Ia juga sebagai suatu ihthiyath (berhati-hati) memandangkan ada pendapat yang tidak membolehkan menyertakan sekali kedua-dua puasa ini. Jika bulan Syawwal sudah di penghujung, maka menggabungkan di antara puasa qadha’ dan sunnat Syawwal adalah baik. Wallahu a’lam.

4) Berusahalah bersama-sama agar kita tidak terlepas untuk menunaikan puasa 6 hari Syawal ini sebagai taqarrub (untuk menghampirkan diri kepada Allah) di samping ganjaran yang besar seperti yang disebut di dalam riwayat hadith.

والله أعلم بالصواب


[1] Rujuk Lathaif al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-‘Am min al-Wazhaif, Al-Imam al-Hafiz Zainuddin bin Rajab al-Hanbali, ta’liq Muhammad al-Iskandarani, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/ 1996M, ms 209.

[2] Rujuk Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, Bairut: Dar al-Qalam, 1987, 8/56.

[3] Rujuk Al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, Al-Imam al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, tahzib wa taqdim, Syaikhuna, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Bogor: Al-Ma’had al-Ali li al-Tafaqquh fi al-Din, Cetakan Kedua, 1418H/ 1997M, ms 179.

[4] Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Al-Shiyam, Abu Daud dalam kitab Al-Shiyam,Tirmizi dalam kitab al-Shawm, Ibn Majah dalam kitab Al-Shiyam.

[5] Diriwayatkan Ibn Majah. Hadith ini disebut di dalam kitab Fadhail al-A’mal, Al-Hafiz Dhiyauddin, Muhammad bin Abd al-Wahid bin Ahmad al-Maqdisi, Madinah: Jam’iyyah al-Birr, 1412H, ms 42.

[6] Disebut oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim seperti yang dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi Syarah bagi Mukhtasar Shahih al-Tirmizi, 5/127. Rujuk juga Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Shawab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathoni, Dar al-Fikr, 2/128. Bilangan 360 hari di sini merujuk kepada hari dalam setahun tahun Hijriyyah, bukan Masahiyyah.

[7] Diriwayatkan oleh Tabrani di dalam Al-Awsat.

[8] Bahr al-Mazi, 5/127. Lihat juga Al-Shirat al-Mustaqim, Al-Alim Al-Allamah Syaikh Nuruddin Jilani bin Ali Hasanji bin Muhammad Humaid al-Raniri (kitab ini berada di tepi kitab Sabil al-Muhtadin), ms 138.

[9] Rujuk Bahr al-Mazi , 5/126.

[10] Rujuk Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Syaikh Muhammad Al-Syarbini al-Khatib, Fathoni: Matba’ah Ibn Halabi, t.t, 1/245, Bahr al-Mazi, 5/127,Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni, Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif, t.t, ms 65, Kifayah al-Muhtadi pada Menerangkan Cahaya Sulam al-Mubtadi, Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathoni, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, 1351H, ms 162 dan Idaman Penuntut pada Menghuraikan Yang Kusut, Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya, Penggal Pertama, 1983, ms 148.

[11] Beliau ialah salah seorang ulama besar dalam fiqh mazhab Syafi’e. Diberi gelaran Imam Syafi’e al-Shaghir (Imam Syafie kecil) kerana kedalaman dan kewibawaannya dalam ilmu pengetahuan. Kitabnya Nihayah al-Muhtaj dan Tuhfah al-Muhtaj sentiasa menjadi rujukan utama para ulama untuk mengetahui pendapat yang dipakai di dalam mazhab Syafi’e.

[12] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj fi al-Fiqh 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'e, Syaikh Ramli, Egypt: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1993, 3/208–209. Pendapat beliau disokong juga oleh Al-Imam Al-Khatib al-Syarbini (rujuk Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2/184).

[13] Umpamanya dia mengqasadkan (meniatkan) beberapa hari sebelum dia mengerjakan puasa qadha’: “Aku nak puasa qadha’ dulu. Lepas puasa qadha’ ini, aku akan puasa sunnat Syawwal 6 hari pula”. Jika dia berniat seperti itu, maka, dia tidak mendapat pahala puasa sunnat Syawwal 6 hari itu, jika dia menyertakan (combine) puasa qadha’ serta puasa sunnat Syawwal sekaligus kerana dia sudah berniat untuk melakukan puasa sunnat itu tidak sekali (separate) dengan puasa qadha’.

[14] Rujuk Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh bi Amr al-Din, Al-Imam al-Allamah al-Syaikh Muhammad Ahmad bin Abdullah al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, t.t, 2/160–161.

[15] Bughyah al-Tullab, Dar al-Fikr, 2/128.

[16] Rujuk Al-Bahr al-Wafi, kompilasi oleh Syaikhuna al-Marhum, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Soghir bin Abdullah al-Riawi al-Fathoni, Kuala Lumpur: Khazanah Fathoniyyah, Cetakan Kedua, 2005, ms 376.

[17] Rujuk Fath al-Mu’in, Al-Alim al-Allaamah Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari.

[18] Rujuk I’anah al-Tholibin hasyiah bagi Fath al-Mu’in, Syaikh Abu Bakar Syatha al-Bakri al-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Syaikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan.


Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Jol
Pensyarah UIAM
7 Syawal 1429H

Tuesday, July 17, 2012

kun fayakun...

bismillah..

penantian seolah menunggu di depan labour-room berakhir juga. keputusan peperiksaan telah di lahirkan hari ini.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

..هذا من فضل ربي ليبلوني ءأشكر أم أكفر ومن شكر فإنما يشكر لنفسه ومن كفر فإن ربي غني كريم...

ini daripada kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku kufur. sesiapa yang bersyukur maka sesungguhnya (faedah) syukur itu adalah bagi dirinya sendiri dan sesiapa yang kufur (itu tidak menjadi masalah kepada Allah) kerana Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

ayat-ayat cinta daripada surah an-naml:40 :)

saya tidak hebat. saya tidak pintar. saya cuma manusia biasa-biasa yang di pinjamkan Dia kekuatan untuk terus melangkah ke hari ini, esok, lusa dan seterusnya (bi iznillah). perasaan inilah yang di rasai setiap kali peperiksaan besar, malah dalam banyak keadaan sekalipun.

aku lulus? subhanAllah! ini keajaiban daripada Tuhanku.

andai tiada akses kemudahan aqal, tangan, kaki dan selainnya yang di berikan Dia, mana mampu kita peroleh sebegini rupa.

walau kita bersedia dengan pelbagai kelengkapan, tiba saja saat pertempuran di medan peperiksaan Allah izinkan kita shut-down. blank.

boleh jadi?

"kun fayakun"

kita study stay up memanjang, end-block exam score A sentiasa. namun di hati kita punya sekelumit ri'ak. sekelumit saja, tidak banyak. lalu Allah mengizinkan kita tersilap hitamkan jawapan di kertas MCQ.

adakah kita tak tahu jawapan? tidak, kita tahu. kita tak pandai? tidak, kita pandai.

jadi..?

"kun fayakun"

maka DIRIKU serta sahabat sahabiah ku, jangan pernah mendabik dada. jangan pernah lupa terima kasih pada Yang Esa. bukan hanya hari ini, malah untuk hari-hari yang mendatang jua.

manusia hari ini memuja kita kerana kecerdasan (pinjaman Allah) pada kita. hari esok bila sudah tidak 'scorer' lagi, pasti ada yang menjeling sudah tak sudi.

inilah manusia wahai sahabatku. Maha Suci Allah daripada bersifat dengan sifat manusia...
berusahalah untuk mencuri pandangan Allah kerana pandangan Allah terhadap diri kita tidak pernah mengecewakan.

hari ini kita bahagia, kita memuji Allah dengan kurnianya.

namun andai hari esok taqdir tidak seperti yang di cita, tersenyumlah jua wahai DIRIku kerana.. tiada apa yang Dia izinkan itu bersifat sia-sia.

yakinlah.

air matamu hari itu (InshaAllah) akan membajai suburnya tanaman iman, andai benar saluranmu.

Ya Allah!
hamba mohon dengan sangat
agar semua ini bukan istidraj
hamba mohon dengan sangat
semua ini mendekatkan aku dengan Tuhan






-for those who already 'booked' me since few years back, I am now available as your... dental operator? (am not sure the exact term to use) (",) Alhamdulillah..-

Friday, July 13, 2012

aku terlalu ingin kembali

setiakah laungan fisabilillah mu..?
atau kau sekadar ikutkan teman..?
jujurkah sahutan perjuangan mu..?
atau kau mahukan 'tittle' sorg pejuang..?
ikhlaskah pengorbanan jiwa mu..?
atau kau mengharapkan sanjungan..?
di jalan Rabb mu kah kamu..?

bisikan akal yg dijawab iman..
merentap segenap inci tubuh..
siapakah aku sebenarnya..??
hamba kah aku..?
sedang fitrah hamba itu taat..
tapi aku..?

'tidakkah kau MUNAFIK di jalan Rabb mu..??'
'laranganNya kau lakukan,betul..??'
'suruhanNya kau pilih-pilih,betul..??'
'sunnah kekasihnya kau abaikn,betul..??'
'dan kini kau megah menggelar dirimu hamba..??'
'dan kini kau megah menggelar diri mu daie..??
'layakkah engkau..??!' 'layakkah engkau..??!'

diri mula rebah menyembah..
tiada lagi berdaya melangkah..
layak si tua di baluti usia muda..
ketar bibir mengucapkan dakwah..
lemah lutut ber'tittle'kn munafik..

aku di medan itu,namun aku kaku..
aku di medan itu,namun aku kelu..
seakan pasrah ditujah segala..
seakan hilang laungan lalu..
pasti mereka kecewa dengan ku..
pasti Dia lebih benci melihat diriku..

pandangan ku kabur..
sekabur jalanMu yg ku abaikn..
perit jiwa ku tahan..
bertemankan titisan pilu..
ku renung ia dari kejauhan..

Ya Allah,Kau yang Maha Tahu..
perasaan ini terlalu mencengkam..
sedang aku makin layu..
Kau Yang Maha Tahu..
aku terlalu ingin kembali..
aku terlalu ingin kembali..
membawa diri hina ini jauh pergi..

biarlah ku sucikan dahulu karat jiwaku..
izinkan ku gilap kembali semangat juang ku..
sebelum ku layak melangkah di medan itu..
medan yang terlalu mulia buat insan semacam aku..

Kau mudahkahlah Ya Allah..
andai ada hayat ku..
ku pohon padaMu Ya Allah..

allahumma anta robbi zolamtu nafsi..
waillam taghfirli wa tarhamni..
la akunanna minal khosirin..
allahumma anta robbi..
a'inni a'ala zikrika wa syukrika..
wa husni min i'badatik..
allahumma anta robbi..
taqabbal minni du'ai..
innaka antassanmi'ul a'lim..
watub aliyya ya Allah..
innaka anta tawwaburrahim..

~wardatul asrar~
3 ogos 2008

Saturday, July 7, 2012

stuDENT diari: jangan jawab 'saya tak tahu'

bismillah..


"I takut dengan dentist sebenarnya tapi bila buat treatment dengan senior korang memang best. tak sakit pun. you guys were soo awesome and baik!"


fuh. kesat peluh.


Ini kes ok. yang tak ok pun ada :)


Ramai kawan-kawan minta pandangan dan tanya soalan berkenaan oral health. mesej, inbox fb, ym, call pun ada. siap lukis diagram lagi nak bagi tau sakit kat mana. Thiqoh (percaya) sungguh beliau dengan ilmu kita.


"wah...! mesti rasa cool kan dapat jawab soalan kitaorang"


adush. 'tahap super basic mampu lah di jawab', kata hati.


banyak sangat yang tak tahu sebenarnya. entah-entah yang kita jawab tu hanya dapat satu daripada sepuluh markah. ikutkan hati, nak saja jawab;


"saya tak grad lagi, saya tak tau, saya tak berani nak jawab. apa kata pergi tanya dokter betul-betul"


hee... :')



tapi tak jadi jawab macam tu bila teringat pesanan Dr Tin Mau masa awal-awal masuk tahun satu. masa tu kami belajar subjek Dental Public Health. Dr Tin Mau kata, orang awam memang ada high expectation untuk kita tahu semua perkara yang dia tanya bila kita sudah masuk dalam jurusan ini. hanya kita saja tau yang kita ni baru belajar perkara asas, banyak lagi yang tak belajar.


"Never say, I don't know"


bila orang bertanyakan sesuatu, cuba juga jawab sebatas ilmu kita sebab ilmu dalam bidang sains kesihatan ini berkembang. Jawapan yang di rasakan betul hari ni belum tentu relevan untuk 30 tahun akan datang. Ia tidak thabbat macam hal aqidah yang tetap dari dulu, kini dan selamanya.


Elakkan guna perkataan "I don't know" atau "saya tak tau" dalam sesuatu yang berkait dalam bidang kita. Tapi taraf penggunaannya berubah jadi harus, sunat atau wajib untuk sesuatu yang bukan bidang kita. [jangan pegi cari hukum ni dalam fiqh manhaji, memang takkan jumpa]


"Tapi kalau dah betul-betul tak tau macam mana?"


kalau betul-betul tak tahu, gunakan teknik komunikasi dan bahasa yang tepat supaya masyarakat tidak meragui keilmuan anda. Ini bukan bab ego atau tak mahu mengaku jahil. tidak. Ini bab skil komunikasi yang umat Islam kena belajar supaya 'tidak tahu' kita itu dalam keadaan terhormat.


silapnya kita bila 'zuhud' tidak bertempat sampai nampak seolahnya kita ni tak tahu apa tahap 'z'.


"entah, saya tak tahu. Doktor tak ajar lagi bab tu"


tak ke bunyinya macam... pelik? kasihan mak cik tu. sudahlah sakit gigi bengkak gusi, kita yang di rasakan ada ilmu ni pula main aci jawab 'entah, entah' macam tu. Ingat, 'tak tahu' bukan ayat escapism tau :)


elak jawab macam tu. lagi-lagi dengan non-muslim. Tunjuk sikit kita ni Muslim Professional yang high class dan ada ilmu. Kita bersaing dengan mereka di padang yang sama. cuma beratnya kita daripada mereka kerana kita bawa nama Islam bersama.
contoh jawapan high-class kalau betul-betul tak tahu;


"I am not sure about the answer yet but surely I will let you know by tomorrow"


lepas tu berusahalah dengan gigih mencari jawapan daripada mana-mana doktor atau seniors atau trusted medical site dengan perantara pak cik google.


atau


"saya kurang pasti jawapannya tapi saya akan salurkan puan pada Dr Hanisah ya, beliau pakar dalam bidang ni"


pinjam  ayat 'refer letter' yang doktor selalu buat. Refer letter antara tujuannya adalah untuk mendapatkan tenaga pakar dalam sesuatu kes. salurkan orang yang bertanya kepada seseorang yang anda yakin keilmuannya. kalau kita tak boleh beri jawapan, bantulah dia mencari jawapan.


khas buat sahabat dalam bidang kesihatan, cuba dapatkan general knowledge berkenaan bidang anda yang mungkin bakal di terjah persoalan oleh orang-orang kampung anda.


contohnya, macam mana nak berus gigi dengan betul? macam mana nak pilih berus gigi? kenapa gigi ni sakit bila makan ais krim? dan soalan yang sewaktu dengannya.
selain perasaan cool bahagia sebab dapat tolong orang, anda juga telah memelihara kemuliaan ilmu yang ada pada diri anda daripada jawapan singkat;


"I don't know"


takda la sia-sia orang kampung rasa anda belajar tinggi-tinggi masuk universiti sekadar nak jawab tak tahu. *peace ya*


selamat beramal (^^ ,)