"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Sunday, May 16, 2010

ilmu dan penyelewengan dalam jalan dakwah

bismillah..

Ilmu dan penyelewengan dalam jalan dakwah pesanan Al-Ustaz Mustafa Masyhur dari Kitab At-Tariq Ad-Da'wah (Jalan Da'wah) Ilmu dan Penyelewengan: Tempat tergelincir yang paling merbahaya ialah fitnah ilmu. Kadangkala orang yang melalui jalan dakwah yang mencari ilmu dasar ma'rifah akan mendapat sedikit sebanyak ilmu kemudiannya ia akan merasakan satu perubahan yang besar dalam dirinya, setelah merasai hidup dalam kekosongan dan kesesatan. Dia kagum dan silau matanya dengan sinaran ilmu dan ma'rifah yang diperolehinya dari hasil kajiannya dan dalam kitab-kitab dan buku dakwah Islam. Dia yakin pula bahawa ilmu yang diperolehinya itu telah banyak, lantas menyangka dia telah mempunyai kemampuan untuk beristinbat dan mengeluarkan hukum dari ilmu yang telah diketahuinya dari nas-nas, dalil-dalil Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah saw.

Kadangkala pula dia berpegang teguh sebab lahiriah satu-satu dalil dan tidak mahu menerima hujah dari seseorang. Di kala lain pula dia mudah terpedaya lantas menganggap dirinya telah sampai kepada darjah mujtahid lantas dengan beraninya mengeluarkan fatwa-fatwa hukum syara' di dalam beberapa perkara yang didedahkan kepadanya. Benarlah ada orang yang berkata: "Orang yang paling berani megeluarkan fatwa ialah orang yang paling kurang ilmunya." Lebih merbahaya dari itu ia berani pula merendah-rendahkan darjah imam-imam mujtahidin yang silam jika didapati pandangannya bertentangan dengan pandangan mereka.

Satu lagi tempat tergelincir ilmu iaitu apabila orang yang berjalan di atas jalan dakwah telah dikuasai oleh kelazatan dan keenakan ma'rifah nabi, dimabukkan oleh pembacaan dan mutala'ah semata-mata, sehinggakan jihadnya tertumpu di dalam bidang itu sahaja tanpa melibatkan dirinya lagi di dalam jihad dan amal yang lain yang dituntut oleh agama. Akhirnya hatinya menjadi terlalu seronok dan khusyuk dalam membaca berbagai kitab dan berlumba-lumba membaca berbagai majalah yang dipenuhi makalah ilmiah semata-mata. Ini membuatkan dia leka dari memberi perhatian ke arah menyuburkan iman memperkuat jihad dan latihan dakwah Islam. Ini adalah membalik-songsangkan segala pertimbangan dan menyalahgunakan pengertian yang menyokong usaha tolong menolong yang membawa hasil.

Cara untuk memelihara diri:

1) menuntut ilmu yang berguna tanpa mudah terpedaya dan tidak melewati batas.
2) dan selalulah merasa yakin bahawa apa yang telah kita ketahui adalah lebih baik dari apa yang belum kita ketahui.
3) beramal dengan ilmu yang di perolehi.
4) jangan terlalu berani mengeluarkan fatwa.
5) sentiasa berlapang dada menerima pandangan dan fikiran yang sahih dan benar tanpa membekukan diri dengan fahaman kita yang terbatas.
6) meletakkan manusia dan menilai mereka mengikut darjah dan kedudukan mereka.

sesungguhnya, barangsiapa yang mengaku bahawa ia telah mengetahui maka dia telah menjadi jahil.

Beberapa Petunjuk Di Atas Jalan: Al Imam Hasan al-Banna rahmatullah telah menjelaskan di dalam tulisan-tulisannya, di dalam risalah-risalah dan di dalam ceramah-ceramahnya beberapa petunjuk jalan dan menekankan perlunya kita iltizam dengannya tanpa menafikannya. Beliau bersungguh-sungguh menjauh dari ta'asub mazhab atau dari penyelewengan fikrah yang menyebabkan timbulnya perpecahan yang boleh menggugat persatuan Muslim dan menjadikan mereka berpuak-puak dan bergolong-golongan. Beliau menegaskan bahawa kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w itu merupakan dua sumber rujukan Muslim yang terpenting dalam segala urusan. Beliau telah menyuruh kita berjaga-jaga dan berwaspada dari takfir, kafir-mengkafirkan berpuluh-puluh tahun sebelum munculnya pemikiran seperti ini.

Penekanan beliau bertujuan supaya kita berwaspada dari penyelewengan harakiah seperti "terburu-buru untuk memetik buah sebelum masaknya". Beliau telah menerangkan bahawa jalan ini adalah susah dan panjang akan tetapi di sana tidak ada jalan lain daripada itu, jalan ini memerlukan kesabaran dan mujahadah - berjuang melawan hawa nafsu - di samping memperdalam kefahaman, pembentukan yang rapi dan amal yang berterusan.

Al Imam Asy Syahid itu juga telah menegaskan bagaimana perlunya kita beriltizam di atas manhaj tarbiah dan mempersiapkan individu Muslim sebagai pendukung aqidah dan menjauhi cara-cara parti politik - (yang bukan Islam) - tetapi menumpukan segala tenaga untuk beramal dan menjauhi pertengkaran dan bantah membantah yang membuang masa dan mematikan kesungguhan dan kadang-kadang menyakitkan hati. Beliau sentiasa berpesan kepada kita tentang ukhuwwah supaya memperkuatkan ikatan dan cinta kerana Allah dan pada Allah. Dia mendorong para petugas, para amilin di bidang dakwah lslam supaya mereka tolong-menolong dan menyelaraskan segala usaha untuk dakwah Islam. Perbezaan pendapat di dalam perkara furu'iah tidak boleh dijadikan sebagai penghalang untuk tolong menolong selagi kita bersatu di dalam urusan pokok dan dasar.

Beliau sentiasa menegaskan bahawa jamaah al Ikhwan di atas jalan dakwahnya akan terdedah kepada berbagai-bagai ujian dan bencana, sepuluh tahun sebelum terjadinya ujian dan bencana itu. Kerana ujian itu telah menjadi sunnah Allah di dalam dakwah - dan beliau bertanya: "Boleh jadi ujian itu lama untuk kamu maka adakah kamu bertahan?". jalan ini terlalu sukar dan hanya mereka yang telah di tapis Allah mampu bertahan hingga ke hujungnya, di negeri abadi. Beliau juga dapat menjangka setelah pimpinan kemanusiaan yang di laungkan oleh boneka Barat telah tersasul dan terhoyong-hayang dan kebingungan dalam laluan ciptaan sendiri, menerka akan kembali semula kepada Timur Islam, di tangan tentera iman yang kuat dan teguh sehingga tidak ada lagi fitnah dan gangguan. Pada waktu itulah, terbukti seluruh agama itu milik Allah.

di edit: ilmu dan penyelewengan dalam jalan dakwah

No comments: