"meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riak manakala melakukan sesuatu amalan kerana manusia adalah syirik yang nyata"

~menulislah kerana Allah~

Saturday, December 4, 2010

rabitah srikandi: teruslah melangkah

bismillah..

Meja Balqis di ketuk dengan pensil. Terkumat-kamit Zayyad menutur bicara.

Balqis mengangkat wajah. Suara Zayyad tenggelam dalam alunan Quran dari mp3 nya. Sebelah earphone yang di sumbat di telinga sedari tadi di cabut.

“nak apa?”, Balqis menutur tegas.

“jom la balik sekali..”, sekali lagi suara Zayyad memecah sepi.

Balqis diam tidak melayan.

“nak tinggal sini sampai esok pagi ke?”, Zayyad menyindir.

Balqis menoleh jam di tangan sekilas. "Sebelas suku!", batinnya menjerit. Akibat terlalu khusyuk menyiapkan tugasan, Balqis tidak sedar akan masa yang berlalu pantas. Earphone yang di sumbat di telinga membataskan pendengarannya terhadap suasana sekeliling. Di luar, langit kelihatan gelap. Hujan renyai mula turun membasahi bumi.

Balqis makin kaget melihatkan tiada seorang pun rakan muslimat yang tinggal walhal baru lima belas minit waktu prep tamat. Yang tinggal hanya dia, Zayyad dan Nazmi.

"Astaghfirullah.. muslimat lain tak perasan mungkin", Balqis memujuk hati. Langkahnya laju ke belakang kelas. Buku-buku telahannya tadi di susun kemas di atas rak yang tersedia.

"Aku tunggu ni..", tambah Zayyad mengulang ajakan. tangannya di silangkan ke dada sambil badannya bersandar ke daun pintu. Kepalanya di gerakkan sedikit, memberi signal supaya Nazmi pulang dahulu. Nazmi akur menapak langkah pulang ke asrama.

Zayyad melakar senyum senget.

Balqis resah. Dia harus pantas. Fikirannya jauh memikirkan ustaz yang bakal meronda sambil tangannya lincah mengemas buku untuk di bawa pulang ke asrama. Kalaulah ustaz datang....

"Tap!" suis lampu di matikan.

"Ya Allah!", Balqis melatah, meraba dalam gelap "ini bukan masa main-main!" Geram dengan tindakan Zayyad yang sengaja menguji kesabarannya. Suis lampu di petik semula.

"Relax.. memain je la. Siapa suruh lambat sangat?", Zayyad masih lagi dengan wajah slumber tidak bersalah.

Balqis rancak beristighfar membina sabar. dalam hati hanya Allah yang tahu.

"Silakan puteri singa...", ejek Zayyad sambil berlagak seperti penyambut tetamu. Dia menyilakan Balqis untuk lalu di hadapannya.

Geram Balqis bertambah. Mahu rasanya bertukar menjadi ibu singa dan menelan lumat manusia semacam itu. Zayyad hanya memekakkan telinga setiap kali di tegur tentang sikapnya. Sia-sia.

"Jalan sama je, bukan buat apa pun", ada sahaja alasan untuk memancing amarah Balqis.

"Saya tahu jalan balik. InsyaAllah tak sesat. Balik la dulu", Balqis statik di muka pintu. Hujan yang tadinya renyai kini semakin lebat seakan memahami resah yang di tanggung Balqis. Dentuman guruh bertemankan kilat mula memecah hening malam. Dari Taman Mohabattein, kelihatan pekerja cafe sedang mengemas perkakas untuk pulang.

Zayyad berundur. Kali ini, koridor pula menjadi sandaran. Degil dan masih tak mahu berlalu.

"Bagi saya balik dulu, baru kamu jalan", Balqis memberi arahan. Rasionalnya masih berbaki meski terasa ingin 'meletup'.

"Ok...", Zayyad menggangguk sambil tersenyum penuh makna.

Balqis melajukan langkah. Wajah abi dan ummi silih berganti di minda. "Ya Allah.. Bantulah aku"

"tap! tap! tap!", derap langkah yang pantas sedang menghampiri. Balqis menoleh ke belakang. Zayyad sengaja mengejarnya dari jauh. Lagaknya seperti orang kurang siuman dengan jarak kurang lima meter sahaja. Mata sengaja di beliakkan sambil menyengih ala-ala hantu dalam cerita dongeng kanak-kanak.

"Berhenti!", tiada toleransi lagi. Balqis benar-benar 'meletup'. Dia tak peduli lagi kalau-kalau jeritannya memancing mata-mata lain. Kakinya terpaku ke lantai.

Takut.

Geram.

Marah.

Sedih.

Segalnya berbaur. Balqis takut dengan Allah, takut ada orang nampak keadaan mereka. Geram dengan perangai Zayyad yang menjadi-jadi. Marah dengan dirinya yang tak cakna akan masa sehingga terjerat dalam situasi begini...

Zayyad tak sangka yang Balqis begitu sensitif. Niatnya hanya ingin bergurau. Tangan di angkat memberi signal surrender. Bahu Balqis yang terhincut-hincut menahan sendu jelas kelihatan.

Zayyad kaget.

*****************************

Angin bertiup lembut menggugurkan dedaun kering berona perang dari rantingnya. Sesekali terasa seperti berada dalam musim luruh di luar negara. Deretan wakaf di Taman Mohabbatein sekolah elit itu seperti selalu, sunyi daripada manusia. Ramai pelajar memilih untuk belajar di perpustakaan atau di kelas sahaja. Lain pula bagi Balqis dan Ayuni yang lebih selesa memilih suasana santai sambil mentadabbur alam di temani kicauan burung yang singgah sekali-sekala di wakaf mereka.


"Allah tengah uji ateh...", Ayuni mengusap lembut bahu teman sebiliknya. Jauh di sudut hati, Ayuni juga kasihankan Zayyad. Meski zahirnya mereka kelihatan sempurna dengan nikmat harta dan kepintaran akademik, jiwa mereka tandus dan minta di baja. Itulah mungkin sebabnya Zayyad sering menghujani Balqis dengan ‘pertanyaan mengarut’.

“Kenapa tak boleh tengok? Dah diorang tunjuk aku tengok lah..”, Zayyad mempersoalkan tindakan Balqis menegurnya supaya tidak melihat gambar artis yang seksi dan terdedah sebahagian tubuh di akhbar.

Balqis buntu. “tapi.. kalau betul dia tak tahu macam mana?” Balqis hilang rentak. Tak tahu cara terbaik untuk menerangkan hal ini kepada orang semacam Zayyad. Takut-takut kalau Zayyad sekadar memancing bicara.

“Penawar hati.. Ingatkan Allah.. Bacalah Al-Quran.. Ingatkan mati..”, Ayuni mengalunkan nasyid, memecahkan lamunan Balqis sebentar tadi.

“Dunia kita sekarang ni tak sama macam di Raudhah dulu.." ujar Balqis lambat-lambat.

Ayuni merenung langit.

“kita takkan selamanya dalam bi’ah selesa, ateh. lambat laun kita kena lalui juga. dunia luar jauh lebih mencabar. masyarakat nazak, apakah da'ie harus turut nazak juga? Kita ada tanggungjawab besar untuk ummah”, Ayuni melontar tasyji’.

Balqis mengganguk perlahan. Wajahnya bertukar mendung.

“malunya ateh.. sedang nabi kita.. Allah.. terlalu sedikit yang kau rasa, Balqis ”, ucapan Balqis terhenti. Esaknya membuai jiwa Ayuni.

Sirah nabawiyyah di singkap.

Tidak cukup seruan baginda di tolak mentah-mentah di Thaif, tubuh baginda turut di sakiti dengan hujaman batu dari penduduknya. Terompah baginda likat dengan lelehan darah yang mulia sedang Zaid ibn Haritsah mengalami luka-luka yang amat banyak di kepala dan badannya demi melindungi batang tubuh insan agung, Rasulullah S.A.W. Batin baginda juga di hiris dengan cercaan dan maki hamun muntahan mulut mereka yang mengkufurkan Allah.

“namun baginda tenang.. baginda sayang umat.. baginda mendoakan kebaikan”, Ayuni menyapu takungan mata dengan hujung lengan.

Balqis turut sama tenggelam dalam sendu dan rindu. Rindu pada yang hak, rindu pada idola sekalian umat, Rasulullah SAW.

“andai jalan dakwah ini mudah, pasti ramai yang mengikut dan menyambut. Tapi jalan dakwah ini payah.. telah tertipulah diri yang merasakan dia seorang pejuang namun masih boleh bersenang-senang dengan dunia. Sunnatullah, berjuang itu pahit Balqis”, Ayuni menggenggam erat tangan Balqis. Mohon ikatan jiwa srikandi ini terus berpanjangan hingga ke syurga. “dan Balqis di pilih Allah untuk merasa cebisan kepahitan itu”

“Balqis umat baginda.. biarlah sedikit asal suatu saat nanti mahu banginda melihat Balqis dan mampu  juga Balqis katakan, inilah sedikit saja Ya Rasulullah yang aku mampu dalam menyambung perjuanganmu..”, Balqis meniup semangat buat diri. Senyuman kelat di ukir.

Telah tenanglah jasad yang mengharungi perit hari siangnya kerana kita, yang pernah mengikat perut kerana kita, yang pernah di baling batu kerana kita, yang pernah di tusuk pipinya kerana kita, yang di saat akhir hayatnya masih merindui kita.. “ummati.. ummati.. ummati..”

tutur Ayuni seiring hujanan air mata.



“wahai pemilik sekalian hati.. peganglah hati-hati kami dan bantulah kami untuk berada di jalanMu.” Jauh di sudut hati Balqis mendoakan kebaikan buat Zayyad, sepertimana baginda yang senantiasa mendoakan kebaikan buat ummat. Moga Zayyad menjadi sehebat pejuang Allah, Zaid ibn Haritsah.

Dua ekor burung yang singgah di wakaf turut mencicit perlahan seolah memahami perbualan mereka.

"kita hanya penyeru.. kita bukan penghukum.. teruskanlah dan ayunlah langkah.."

2 comments:

zaidi al-hafiz said...

semoga Allah beri kekuatan utk berdakwah n berjuang..

najibah said...

Allahumma ameen. jazakallah. buat ust juga, InsyaAllah